DAP tidak anti kepada mana-mana kaum di Malaysia kerana ia bukan cerminan terhadap perlembagaan dan asas perjuangan parti itu.
Setiausaha Organisasinya, Anthony Loke, berkata persepsi negatif berkenaan hanyalah propaganda untuk memburukkan imej DAP, seterusnya mencetuskan ‘fobia’ buat masyarakat Melayu.
Beliau berkata, sesiapa yang ada syak wasangka boleh membaca Perlembagaan DAP yang tertera di laman web parti.
“Apabila DAP ditubuhkan, pengasasnya adalah daripada pelbagai kaum; dari pucuk pimpinan parti, kita sudah ada penglibatan dari kaum Melayu termasuk dari kalangan wakil rakyat.
“Malah, tidak masuk akal untuk DAP mengenepikan masyarakat Melayu yang merupakan pengundi majoriti dalam Piliharan Raya Umum (PRU) yang mana parti ini turut memerlukan undi mereka untuk menang,” katanya seperti dilapor Roketkini.
Jelas LOke, DAP merupakan sebuah parti pelbagai kaum yang sah dan keahliannya terbuka kepada warganegara Malaysia tidak mengira kaum, agama, gender, budaya dan wilayah. -Malaysiapost

