DUA buah sekolah rendah di dua zon di Sibu ditutup bermula hari ini, selepas kedua-dua zon itu bertukar status kepada merah akibat peningkatan kes Covid-19.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu, penutupan itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali dan SK St Mary, masing-masing di Zon 9 Jalan Awang Ramli Amit dan Zon 10 Kampung Dato.
Jawatankuasa itu memaklumkan penutupan itu susulan peningkatan kes kumulatif masing-masing kepada 52 dan 43 kes semalam.
“Penutupan itu ialah hingga tamat cuti pertengahan penggal pada 3 April ini,” kata kenyataan itu.
Jawatankuasa itu berkata, prosedur operasi standard (SOP) pengendalian kes Covid-19 untuk sekolah-sekolah yang mempunyai kes dalam kalangan guru atau pelajar ialah penutupan selama satu atau dua hari untuk tujuan disinfeksi dan siasatan.
“Kontak rapat di sekolah itu akan disaring dan diminta menjalani isolasi atau kuarantin oleh Jabatan Kesihatan di mana persekolahan untuk pelajar-pelajar berkenaan boleh diteruskan melalui pembelajaran dalam talian.
“Pelajar bukan kontak kes boleh datang ke sekolah seperti biasa,” demikian menurut kenyataan itu lagi.
Berikutan kehadiran ke sekolah tidak wajib pada masa ini, ibu bapa yang berasakan tidak selamat untuk menghantar anak ke sekolah boleh meminta PdPR iaitu pengajaran dan pembelajaran di rumah diadakan. -Malaysiapost

