Nasrudin Hassan
Dakwah adalah satu tugas yang mencabar, namun ia penuh dengan kemuliaan. Lebih mencabar apabila kita ditaklifkan untuk mengendali organisasi, mengurus gerakan dan merencana strategi dakwah.
Ia memerlukan sebuah keikhlasan yang tinggi agar jiwa kita bersih dan kita boleh “menikmati” susah sukar gerak kerja dakwah tanpa sebarang keluhan dan rungutan. Sabar dan tabah mendepani cabaran di “pentas” dakwah dengan hati yang cekal tidak mengalah.
Dakwah perlu bersandar pada sang da’i yang berilmu dan tahu mengenai Islam yang disebarnya kepada masyarakat. Demikian juga kesungguhan tanpa sempadan, merentas jauhnya perjalanan, tingginya halangan dan dahsyatnya tentangan yang dihadapkan kepada gerakan dakwah.
Bertolak pada tiga perenggan inilah, saya perlu pacu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) ini dengan aura perjuangan yang jitu dan padu. Aura tersebut diolah, digarap dan diadun dalam satu ramuan seperti berikut:
Menyatukan saf dan membina “ahli keluarga” Yadim bersama keluarga besar penggerak dakwah Islamiah dari aneka pertubuhan dengan spiritual dan pemikiran Islam yang syumul, serta menyulam budaya kerja secara strategik dan terancang berasaskan matlamat dan objektif dakwah yang telah digariskan.
Mengkaderkan kakitangan Yadim dan para sukarelawannya dengan asuhan Iman, Islam dan beramal kerana mengharapkan Redha Allah SWT mengatasi kepedulian terhadap imbuhan duniawi.
Mendidik serta membekalkan ilmu pelbagai aspek yang diperlukan dalam proses penyediaan daei pelapis. Menguasai subjek, method dan approach dakwah Islamiyah kontemporari secara terlatih.
Sub head: Menangkis serangan pemikiran
Yadim terus memberi komitmen untuk melahirkan para da’i dan pelapis da’i’ agar dakwah Islamiyah semakin subur di tanahair kita dan sampai kepada setiap hati sanubari masyarakat.
Menjalin serta membina “networking” yang luas dan lebar sebagai jaringan atau “channel” dakwah yang pelbagai. Bersifat kontemporari dan kreatif terutama untuk manafaatkan teknologi siber.
Yadim juga akan berperanan aktif bagi menangkis segala serangan pemikiran, propaganda dan dakyah yang menghina dan melemahkan Islam melalui kerjasama strategik dengan semua NGO Islam.
Penulis ialah Yang Dipertua Yadim
Artikel ini disiarkan tanpa suntingan.
Kredit Foto: Yadim

