Polis tak pilih kasih siasat pemimpin politik – KPN

0
2

KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menafikan dakwaan pasukan itu bertindak tidak adil dalam menjalankan siasatan apabila membabitkan pemimpin politik.

Beliau berkata, proses siasatan dibuat dengan mengikut prosedur ditetapkan selepas menerima laporan.

Katanya, polis membuka kertas siasatan selepas menerima laporan dan merekod percakapan mana-mana individu berkaitan mengikut keperluan bagi membantu siasatan.

“Sama ada mereka bersalah atau tidak biar ia ditentukan nanti. Sekiranya mereka memberi keterangan dan kertas siasatan dilengkapkan, ia akan dibawa ke Pejabat Peguam Negara.

“Maka, kami bertindak atas laporan polis yang dibuat dan kertas siasatan dibuka. Bukan saya arahkan panggil pemimpin politik datang ke Bukit Aman tetapi mesti ada punca kuasa iaitu laporan polis dibuat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada program Bersama KPN dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar secara langsung platform di media sosial hari ini.

Beliau mengulas kes Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor dipanggil ke Bukit Aman untuk dirakam percakapan minggu ini yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan.

Mohamad Ezam dilaporkan dipanggil ke Bukit Aman kerana mengeluarkan kenyataan membabitkan Abdul Hamid dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia, selain isu video lucah membabitkan individu dikaitkan dengan seorang menteri.

“Ada pihak membuat laporan polis berkaitan perkara itu dan apabila kertas siasatan dibuka, beliau perlu datang untuk dirakam percakapan.

“Bagaimanapun, ada pihak cuba menggambarkan polis bertindak kejam dan seolah-olah membuli serta menyalah guna kuasa memanggil orang ke Bukit Aman.

“Pegawai penyiasat yang ada sekarang ini cukup profesional dan mereka yang dipanggil boleh bawa peguam ketika dirakam kenyataan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here