Pemerkasa: Moratorium bersasar diteruskan

0
2
PUTRAJAYA, 29 Julai -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan khas mengenai pengumuman lanjutan moratorium dan bantuan bersasar di Bangunan Perdana Putra hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

PROGRAM Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) turut memberi peluang kepada rakyat untuk memohon penangguhan pinjaman atau moratorium.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan perkara itu sebagai inisiatif ke-sebelas Pemerkasa.

“Bantuan moratorium bersasar yang diumumkan oleh Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia telah berjaya mengurangkan beban 1.4 juta peminjam individu dan PKS (Perusahaan Kecil Sederhana) yang terjejas, dengan kadar kelulusan sehingga 95 peratus.

“Saya ingin menekankan bahawa bantuan ini masih dibuka kepada orang ramai,” katanya, hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, Pemerkasa akan memastikan PKS terus dibantu dalam mendapat pinjaman.

“Bagi membantu PKS mendapatkan pinjaman, Bank Negara Malaysia telah meningkatkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar sebanyak 2 bilion ringgit dan Fasiliti Automasi dan Digitalisasi sebanyak 700 juta ringgit.

“Dengan penambahan ini, kemudahan yang disediakan oleh Bank Negara untuk manfaat PKS berjumlah RM6 bilion.

“Di bawah MIDF, sebanyak 200 juta ringgit disediakan untuk skim pembiayaan pembangunan automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi hijau. MIDF juga telah bersetuju untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dari 5 kepada 3 peratus bagi tempoh 12 bulan, bermula 1 April 2021,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, dana tambahan sebanyak RM50 juta bagi Geran Automasi Pintar di bawah MIDA turut disediakan supaya lebih banyak PKS dan Syarikat Tahap Pertengahan, atau Mid-Tier Companies dapat meningkatkan kecekapan operasi dan pembuatan menerusi teknologi tinggi.

“Selain itu, bagi menyokong IR4.0, peruntukan berjumlah 50 juta ringgit akan diberi kepada program Industry4WRD di bawah MITI.

“Bagi menggalakkan PKS meningkatkan automasi yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, SME Bank akan menyediakan dana pinjaman 200 juta ringgit untuk membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20 peratus ke atas nilai mesin,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here