TIADA lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara pada masa terdekat ini.
Perkara ini diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata, kerajaan berkemungkinan tidak perlu lagi melaksanakan PKP secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri.
“Sebaliknya, kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja,” katanya ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), hari ini.
Menurut Muhyiddin, kerajaan akan melaksanakan strategi kawalan penularan Covid-19 secara lebih bersasar dengan bersandarkan sains dan data untuk mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara.
“Pada masa yang sama, dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapan awalnya, Muhyiddin berkata, kerajaan melaksanakan Pemerkasa dengan menumpukan lima fokus utama melibatkan 20 inisiatif bagi pemulihan serta pemerkasaan negara sepanjang tahun ini.
Lima fokus utama itu adalah mengawal penularan Covid-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi.
Menurutnya, bagi fokus pertama iaitu mengawal penularan Covid-19, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai tindakan kesihatan awam untuk membendung pandemik tersebut di samping memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Setakat ini, lebih 300,000 rakyat telah pun menerima suntikan pertama vaksin,” katanya
Muhyiddin menjelaskan, bagi fokus pertama, kerajaan akan menaikkan peruntukan bagi program imunisasi daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021, berbanding sasaran awal iaitu pada suku pertama tahun 2022.
Katanya, untuk mencapai sasaran itu, seramai 15,000 petugas akan ditempatkan di hampir 950 Pusat Pemberian Vaksin atau PPV di seluruh negara. -Malaysiapost

