Nilam Oshman
TIGA perkara yang dirangka dalam kertas putih yang menggariskan pelan pembangunan keupayaan terkini Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang dalam proses dokumen secara umum, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, kedudukan semasa kertas putih ini adalah pelaksanaan dasar untuk 10 tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK13 iaitu 2021 hingga 2030.
Menurutnya, pada 2021 ini adalah proses menyiapkan dokumen yang berkaitan dengan kertas putih secara umum.
“Antaranya kita sedang menyiapkan industri pertahanan misalnya, dasar industri pertahanan negara yang saya percaya akan dilancarkan dalam waktu terdekat ini begitu juga rangka tindakan kapasiti pertahanan dan pelan pelaburan pertahanan negara.
“Tiga kertas ini penting, sedang disiapkan selepas dilancarkan akan dilaksanakan berdasarkan kertas putih ini. Ini masih lagi peringkat awal,” katanya dalam Bicara Naratif Setahun Malaysia Prihatin di RTM malam ini.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pertahanan menerima peruntukan yang besar daripada kerajaan untuk memperkasakan lagi keselamatan negara.
“Kita agak bertuah pada tahun ini kerana kita menerima bajet yang agak besar berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Bajet kita besar, kita nak menyelenggarakan dan menambah aset-aset baru untuk setiap perkhidmatan sama ada tentera darat, tentera laut dan tentera udara bagi memperkasakan pertahanan dan kita juga membina kem-kem baru.
“Tumpuan kita lebih pada kawasan sempadan kalau macam di Sabah, kawasan yang agak sensitif dari segi kemasukan PATI dan pelbagai insiden lagi, jadi kita wujud kem Lahad Datu untuk pertahanan.
“Begitu juga, dengan pos-pos kawalan di kawasan sempadan di Sabah dan Sarawak ada 17 pos kawalan sempadan dan yang terbaru untuk tahun ini, seterusnya kita akan bina 19 lagi pos kawalan sempadan termasuk di Semenanjung juga di Padang Terap umpamanya bekerjasama dengan tentera Thailand,” katanya.
Tambahnya, kementeriannya juga akan menggunakan teknologi moden untuk mengawal pantai seperti dron, radar, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sempadan bagi memastikan keselamatan negara. – Malaysiapost

