Ramai rindu nak balik kampung, ini jawapan Ismail Sabri

0
2
Ismail Sabri

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau memahami ramai perantau begitu merindui untuk pulang ke kampung, namun kebenaran untuk berbuat demikian akan ditentukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata, kebenaran bagi aktiviti merentas negeri akan dipertimbangkan atas nasihat KKM setelah mengambil kira pelbagai faktor, khususnya jumlah kes jangkitan harian Covid-19.

Beliau berkata, selain Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kebenaran merentas negeri pada Disember lalu menjadi punca kes Covid-19 di Malaysia meningkat dengan mendadak termasuk mencetuskan 32 kluster rentas negeri di seluruh negara.

“Sebagai contoh, Kelantan penduduknya ramai berada di perantauan…daripada zon hijau tak sampai sebulan bertukar zon merah, semerah-merahnya. Jadi kita tukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sarawak pun sebelum ini negeri hijau, tapi semasa Krismas aktiviti balik kampung di sebuah rumah panjang di Sibu menyebabkan kes menular sehingga beri kesan kepada seluruh negeri.

“Jadi walaupun ramai rindu nak balik kampung, KKM akan nasihat kita sama ada dibenarkan atau tidak,” katanya dalam Program Setahun Malaysia Prihatin: Pencapaian Kementerian Pertahanan yang disiarkan secara langsung di RTM malam ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau percaya aktiviti rentas daerah mungkin dibenarkan jika kes jangkitan harian Covid-19 menurun kepada 500 pada Mei ini seperti dijangkakan KKM.

“Kalau betul-betul turun kepada 500 kes (sehari) pada Mei, harap-harap KKM boleh pertimbangkan.

“Apa yang penting adalah kepatuhan prosedur operasi standard (SOP). kalau terus patuh kes akan turun, kalau tak patuh mungkin akan meningkat semula.

“Kita pernah ada pengalaman kes sudah turun tetapi naik balik, jadi sama-sama kita pastikan kes terus turun,” katanya.

Beliau turut menjelaskan setiap keputusan berkaitan SOP dan arahan-arahan dalam PKP mahupun PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan dibuat atas penilaian risiko dan nasihat KKM. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/16/larangan-rentas-negeri-masih-kekal/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here