Perangi wabak Covid-19 dianggap berjaya – Ismail Sabri

0
2
Ismail Sabri

Nilam Oshman

MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan peperangan dalam menangani wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh setahun ini, dianggap berjaya.

Beliau berkata, ketika mengisytiharkan PKP di bawah Akta 342 itu, ia merupakan satu perkara baru kepada Malaysia dan dunia justeru tiada panduan dapat diambil dari negara lain bagi menangani wabak ini.

Namun, katanya, seluruh rakyat dan petugas barisan hadapan bekerjasama dan akhirnya berjaya mengatasinya pada awal kemunculan Covid-19 ini.

“Jadi, kita tak ada panduan untuk kita rujuk negara lain bagi mengendalikan pandemik ini. Tiada negara yang dilihat berjaya, negara yang berjaya di dalam dunia pun gagal ketika itu dan kita membuat keputusan berdasarkan acuan kita sendiri dan buat keputusan laksanakan PKP.

“Dan kita berjaya sehingga negara pernah menjadi lima negara terbaik di dunia dan ikhtiraf serta kedua terbaik selepas Taiwan dan berjaya melandaikan Covid-19 sehingga kosong,” katanya dalam siaran langsung di Bicara Naratif Setahun Malaysia Prihatin RTM.

Bagaimanapun, beliau berkata, kes meningkatkan semula pada hujung 2020 tetapi dengan semangat tidak berputus asa, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya melandaikan kes.

“Selepas itu, apabila (kes positif Covid-19) naik, kita, pasukan polis, tentera dan KKM tidak berputus asa, dengan sokongan rakyat kita berjaya menurunkan kembali jumlah kes, tidak berjaya sepenuh tapi dapat melandaikan sehingga hari ini 1,063 kes paling rendah pada 2021.

“Jadi, jangkaan dari KKM jika rakyat patuh kepada SOP maka kes positif akan dapat diturunkan sehingga 500 kes pada bulan Mei nanti.

“Jadi, kesimpulannya peperangan menentang Covid-19 ini boleh dianggap berjaya selepas setahun,” katanya.

Beliau berkata, begitu juga, dengan Kementerian Pertahanan, diberikan tanggungjawab untuk menjaga dan mengawal sempadan negara.

“Bekerjasama dengan pihak polis, APMM di bawah Ops Benteng dan kita berjaya sehingga hari ini. Kalau kita lihat setiap hari pengumuman saya tangkap PATI, rampas kapal, bot dan sebagainya, ini merupakan satu kejayaan.

“Begitu juga, keadaan yang berlaku di lautan negara di persisiran terutama berkaitan dengan Laut China Selatan, kita masih mampu mengekalkan keamanan di situ.

“Kita sebagai sebuah negara kecil walaupun dihimpit bagaimanapun kita tetap kekal dengan pendirian kita kekalkan kedaulatan dan tidak membenarkan mana-mana negara membuli walaupun dengan cara diplomasi tapi kita masih berjaya mengekalkan keadaan Laut China Selatan.

“Cara keseluruhannya, saya melihat keadaan peperangan Covid-19 yang bukan konvensional atau konvensional, kita berjaya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/01/19/ydpa-harap-petugas-barisan-hadapan-terus-cekal-tabah-perangi-covid-19/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here