Ambil tindakan layanan ‘double standard’ – MUDA

0
2

Nurul Huda Abhar

KERAJAAN dan polis perlu mengambil tindakan terhadap layanan dua darjat atau ‘double standard’ yang dikenakan kepada Menteri dan orang orang kenamaan (VIP) berbanding dengan rakyat dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam kenyataannya berkata, pihak bertanggungjawab harus menyiasat semua kes yang melibatkan Menteri atau VIP dan mendedahkan setiap proses serta hasil siasatan yang dijalankan dengan telus dan adil.

“Tindakan pihak berkuasa tidak konsisten dalam penguatkuasaan pematuhan SOP menonjolkan ketidakadilan dan sifat zalim. Setakat 14 Mac, 458 orang awam disaman, dengan 438 dikenakan saman, tujuh direman dan 13 dilepaskan dengan jaminan.

“Rakyat melanggar SOP dikenakan saman RM10,000. Pada hari Sabtu 13 Mac, dilaporkan satu pasangan dikenakan kompaun RM10,000 kerana tidak memakai pelitup muka walaupun membukanya untuk makan dan minum.

“Tindakan yang segera dan berat walaubagaimanapun tidak dikenakan ke atas golongan Menteri dan ahli politik,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan tersebut turut melampirkan kesalahan beberapa Menteri yang dikatakan tidak mematuhi SOP antaranya Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan sosial semasa menghadiri Program Pertanian Bandar di Desa Petaling pada 13 Februari lalu.

Turut disenaraikan, Datuk Zuraida Kamaruddin menghadiri penganjuran program Malaysia Prihatin Norma Baharu Berekreasi di Taman Persekutuan Bukit Kiara Kuala Lumpur, Sabtu lalu melibatkan pergerakan dan perkumpulan ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

Kenyataan itu juga menggesa kerajaan menguatkuasakan tindakan dan hukuman ke atas semua pihak yang melanggar SOP tanpa mengira latar belakang, kedudukan dan pengaruh kuasa.

“Muda juga akan melancarkan satu laman lapormenteri.com yang akan mengumpul segala aduan dan maklumat berkait golongan Menteri dan VIP yang melanggar proses SOP.

“Laman ini akan memuatkan semua pelanggaran SOP untuk dipamerkan kepada orang ramai dan untuk dibawa ke perhatian pihak berkuasa dan kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/01/07/ikatan-tepuk-tangan-ros-tolak-permohonan-muda/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here