Nurul Huda Abhar
“MASA pandemik bukan masa sesuai buat operasi mencari salah.” Demikian tegas Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia.
Ia berikutan operasi penguatkuasaan ekzos yang sedang giat dijalankan di seluruh negara bermula 1 Mac lalu.
“Namun masa pandemik ini bukan masa paling sesuai untuk melakukan operasi penguatkuasaan untuk mencari salah dan mengeluarkan saman secara besar-besaran terhadap isu ini.
“Sebab virus Covid tak takut pada bunyi ekzos. Jika pengguna motor nak perbetulkan ekzos dan aksesori motor mereka pun perlukan masa dan wang.
“Tapi dalam krisis pandemik ini, ramai tidak ada duit berlebihan untuk memperbetulkannya,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.
Najib berkata, dalam krisis pandemik yang melanda ramai yang kurang berkemampuan untuk mengubahsuai semula ekzos.
Ekoran itu, katanya, ramai anak muda yang tidak lagi berani membawa motosikal keluar untuk mencari rezeki kerana bimbang akan dikenakan tindakan undang-undang.
“Saya rasa usaha mencari salah ekzos berbunyi tidak membantu dalam usaha melawan Covid dan tidak menyumbang kepada pemulihan ekonomi.
“Jika nak dilaksanakan operasi penguatkuasaan, saya berpendapat ianya lebih adil untuk beri tempoh pengampunan selama separuh tahun atau setahun setelah pandemik Covid sudah berakhir dan ekonomi telah memulih untuk memberi peluang pengguna motor mencari pendapatan untuk memperbaiki motor mereka.
“Berilah tempoh yang munasabah bagi anak-anak muda untuk bernafas semula ketika pandemik Covid ini,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan jika Parlimen boleh ditangguhkan dan mengenepikan Pilihan Raya Umum (PRU), maka mengapa operasi penguatkuasaan ekzos serta aksesori motor tidak boleh ditangguh selagi ianya tidak membahayakan nyawa?
Katanya lagi, usaha penguatkuasaan boleh bermula dengan menyasarkan kedai-kedai aksesori dan motor bagi memastikan penjualan aksesori yang tidak dibenarkan dan pengubahsuaian ekzos keterlaluan tidak berlaku lagi.
Pada 5 Mac lalu, polis menyita 14 motosikal dalam Operasi Khas Bersepadu Kesalahan Bunyi Bising di Plaza Tol Mines Utara Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) arah selatan, di Serdang.
Operasi dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor memeriksa 191 motosikal membabitkan 211 penunggang.
Polis telah bertindak menyita 30 motosikal atas pelbagai kesalahan di mana 14 daripadanya adalah kesalahan mengubahsuai ekzos.
Antara pecahan saman yang dikeluarkan tiada lesen memandu (40), ubah suai ekzos (14) dan pelbagai kesalahan (47).
Sementara, JPJ pula mengeluarkan 32 saman termasuk 20 notis hadir periksa, manakala JAS mengeluarkan enam kompaun ke atas pemilik motosikal yang didapati mengeluarkan bunyi bising. – Malaysiapost

