“TIDAK timbul untuk Umno bekerjasama dengan PKR dan DAP,” kata Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.
Menurutnya, Umno tidak perlu menari mengikut rentak orang lain sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pengukuhan dalaman parti itu sendiri.
Katanya, parti itu perlu bekerja keras untuk memenangi semula keyakinan rakyat dan mengelak daripada termakan jerat musuh terutamanya yang didendang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika DS Anwar Ibrahim masih mahu mencanang kononnya ada rundingan dan kerjasama rasmi politik dengan Umno, itu hak beliau untuk bercakap seperti mana selama ini beliau tak henti-henti mengatakan ada majoriti di Parlimen.
“Keputusan dasar PAU 2019 masih terpakai dan kenyataan semua pemimpin tertinggi Umno berkali-kali menyebut tidak timbul kerjasama dengan PKR dan DAP. Menolak kerjasama dengan Bersatu tak bermaksud mesti terus bersama dengan orang lain.
“Hakikatnya, MKT belum pernah mengubah keputusan dasar PAU 2019 yang menolak kerjasama dengan PKR dan DAP,” katanya di Facebook, hari ini.
Isu jalinan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Umno kembali hangat susulan kenyataan terbaru Anwar bahawa wujud rundingan tidak rasmi antara kedua-dua pihak baru-baru ini.
Pada petang ini, Anwar bakal mengadakan sidang media khas dan dipercayai antara perkara yang disentuh ialah isu kerjasama antara PH dan Umno. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

