Nurul Huda Abhar
“BERHEMAHLAH dalam mengkritik seseorang,” kata penyanyi, Aishah mengulas tindakan netizen mengecam Nabila Razali gara-gara ‘terkucil’ ketika membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) Ahad lalu.
Menurut Aishah, netizen harus berpada-pada dalam mengutarakan pendapat atau ketika menulis di media sosial, jangan sampai menyinggung perasaan pihak lain.
“Cukup-cukuplah tu… hari ini kita tak berapa pandai, tapi dengan usaha segala kekurangan boleh diperbaiki.
“Dia (Nabila) menyanyi mungkin tak sampai pada piawaian sesetengah pihak, it is not a crime. Tak ada had untuk terus mencuba, peluang ke seratus, seribu, waima sejuta pun proses pembelajaran tak pernah berhenti,” katanya dalam hantaran di laman Instagram.
Ahad lalu, Nabila atau Bella mendapat kecaman hebat netizen selepas ‘terkucil’ ketika menyampaikan lagu ‘Peluang Kedua’ di AJL35.
Bella juga dikatakan seperti ‘sangat sengsara’ untuk menghabiskan lagu tersebut setelah beberapa kali suaranya tidak sampai pada nota yang sepatutnya dalam lagu itu.
Sementara itu, Aishah yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia nyanyian memberi semangat kepada Bella agar jangan pernah putus asa untuk terus mencuba.
“Kalau rasa tak boleh nak sampaikan lagu-lagu balada, carilah lagu yang bersesuaian dengan suara, bakat dan keupayaan yang ada.
“Mencari ‘niche’ masing-masing itu penting. Yang diperlukan ialah usaha tuan punya badan. Yang lain tak perlu buat dosa overtime,” ujarnya.
Aishah juga membuat persembahan ketika AJL35 dengan lagu ‘Aku Bidadari Syurgamu’ menggantikan penyanyi asal, Datuk Seri Siti Nurhaliza. – Malaysiapost
Artikel berkaitan : https://malaysiapost.com.my/2021/03/15/34323/

