Lelaki hentak kereta guna ‘helmet’ dipercayai alami masalah mental

0
2

POLIS mengesahkan menerima laporan mengenai satu kejadian perselisihan faham di jalan raya di Pekan Parit Jawa, Muar, semalam hingga mengakibatkan sebuah kenderaan rosak akibat ditendang dan dihentak menggunakan topi keledar.

Video rakaman pergaduhan berdurasi satu minit 38 saat itu tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki seperti mengamuk dengan menendang cermin sisi sebuah kenderaan yang dipandu seorang wanita. 

Lelaki terbabit kemudian turut menghentak bonet dan cermin hadapan kenderaan itu menggunakan topi keledar. 

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata hasil siasatan mendapati kejadian membabitkan seorang wanita dan seorang lelaki.

“Wanita itu diserang (khianat ke atas kenderaan) oleh lelaki terbabit yang dipercayai berpunca dari selisih faham antara kedua-dua pihak berkaitan cara pemanduan kenderaan masing-masing.

“Keadaan itu menyebabkan suspek bertindak agresif memecahkan cermin sisi kereta sebelah kanan pemandu, cermin hadapan dan merosakkan bonet hadapan kereta menggunakan topi keledarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengalami masalah mental dan masih menerima rawatan di hospital. 

“Polis Daerah Muar menasihati mana-mana pihak/individu supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik di laman sosial apa-apa bentuk video atau gambar mahupun kenyataan sehingga tular yang boleh menimbulkan salah faham dan kegusaran di kalangan masyarakat,” katanya.

Zaharudin berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here