PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi memastikan kestabilan dalam pentadbiran negara terjamin.
Beliau berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan perkara berkenaan.
“Semua sudah maklum dengan apa yang berlaku dan kita sendiri pun dah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, bagi memberitahu pendirian dan pendapat tentang perkara ini.
“Kena menyedari hakikat bahawa Parlimen adalah merupakan antara pillar (tiang) yang cukup penting di Malaysia.
“Apa yang diluluskan di Parlimen sebagai undang-undang dan ada pelbagai lagi perkara (dibangkit) dan ini merupakan satu amalan sistem demokrasi, beraja berparlimen yang harus dihormati dan diamalkan,” katanya dalam siaran langsung ‘Shafie Apdal menjawab’ di Facebook.
Shafie berkata, persidangan Parlimen itu untuk memastikan pentadbiran di negara berjalan dengan lancar dan seimbang.
“Kita tidak mempersoalkan tentang keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung darurat kerana ketika itu, waktu dan keadaan bersesuaian dan bertepatan (isytihar darurat).
(Kini) Yang di-Pertuan Agong dah maklum Parlimen boleh bersidang.
“Pentingnya persidangan itu untuk melihat perkembangan dan perjalanan bukan hanya mengenai masalah pandemik tapi dari segi ekonomi rakyat yang begitu membebankan mereka,” katanya.
Menurutnya, lebih dari 300,000 rakyat yang menganggur ketika ini, bukan pengusaha-pengusaha kecil malahan syarikat-syarikat besar turut berhadapan dengan masalah ekonomi teruk.
“Jadi, saya melihat dari segi persidangan Parlimen itu penting bagi kita untuk melihat dari segi kedudukan ekonomi negara,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/03/alasan-remeh-tiada-sidang-parlimen/

