DUA pemain muda sensasi, Luqman Hakim Samsudin dan Ramadhan Saifullah Usman antara 28 pemain disenaraikan ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya dari 22 hingga 30 Mac ini.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe turut memanggil pemain naturalisasi terbaharu negara, Guilherme de Paula sebagai persiapan menjelang baki tiga aksi terakhir Kumpulan G bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Semua tiga perlawanan itu akan diadakan secara berpusat di Emeriah Arab Bersatu (UAE) yang mana Malaysia dijadual bertemu tuan rumah pada 3 Jun, Vietnam pada 11 Jun dan Thailand pada 15 Jun 2021.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan Cheng Hoe masih mengekalkan 17 daripada skuad 23 pemain dalam dua aksi terakhir kelayakan sebelum ini iaitu bertemu Thailand dan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 dan 19 November 2019.
Safawi Rasid yang mengalami kecederaan ketika Johor Darul Ta’zim FC bertemu UiTM FC, Sabtu lalu antara yang tidak disenaraikan bagi kem latihan pusat kali ini.
Antara 11 pemain baharu ialah dua penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC) dan Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC); Rizal Ghazali (Kedah Darul Aman FC), Irfan Zakaria (Kuala Lumpur City FC), Fazly Mazlan (Sri Pahang FC), Faisal Halim (Terengganu FC) dan Nazmi Faiz Mansor (Johor Darul Ta’zim FC) dan Shahrel Fikri Md Fauzi (Selangor FC)
“Saya tidak memanggil dua lagi pemain yang beraksi di kelab luar negara iaitu Liridon Krasniqi (Newcastle Jets) dan Junior Eldstal (Chonburi FC) kerana tempoh kuarantin untuk masuk ke Malaysia dan kembali ke Australia dan Thailand menjadi kesukaran untuk mereka.
“Lagipun kedua-dua pemain ini sedang meningkatkan persembahan dan prestasi masing-masing bersama kelab baharu mereka ini.
“Jadi saya kira lebih baik mereka menyertai kem latihan pusat pada Mei nanti dengan prestasi yang lebih baik selepas mendapat aksi minit permainan di Liga Australia dan Liga Thailand,” katanya. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/15/luqman-teruja-bermotivasi-dapat-panggilan-harimau-malaya/

