Kedah terima pelaburan RM3.06 bilion

0
2

Kerajaan Kedah menerima pelaburan berjumlah RM3.06 bilion yang akan mewujudkan lebih 1,400 peluang pekerjaan di negeri berkenaan.

Perkara ini diumumkan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor ketika berucap pada Majlis Komitmen Pelaburan di Wisma Darul Aman, hari ini.

“Kerajaan Kedah memilih untuk meneruskan projek Kedah Rubber City (KRC) kerana ia projek strategik berimpak tinggi yang dirancang untuk menerajui ekosistem industri getah di kawasan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

“Kemasukan pelabur ke KRC ini adalah momen yang sangat signifikan bagi kita kerana ia melambangkan pengoperasian projek strategik berimpak tinggi berjalan lancar, tanpa sebarang hindaran walaupun berlaku kemelesatan ekonomi,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan Kedah bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) merangsang ekonomi wilayah ini melalui Pelan Pembangunan Strategik NCER (2021–2025) dan Rangka Kerja Strategik Pasca Covid-19.

“Langkah itu diambil bagi memulihkan ekonomi, perniagaan dan golongan yang paling terjejas akibat penularan Covid-19.

“NCIA turut mewujudkan program ‘JomKerja’ yang bakal memberi peluang pekerjaan kepada 1,225 peserta di samping program ‘JomNiaga’ yang memberi peluang latihan keusahawananan kepada 1600 peserta,” katanya.

Kredit Foto: Bernama