PRU15: PKR Segamat mahu anak tempatan, Santhara bukti ‘khianat’ calon luar

0
2

PKR mahu anak tempatan sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Segamat dan menolak calon luar bertanding di kawasan itu.

Ketua PKR Segamat, B Fracis Sales, berkata pihaknya ‘serik’ untuk meletakkan calon luar di kerusi itu selepas Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara mengkhianati pengundi dengan lompat parti.

Beliau berkata, Santhara adalah calon luar yang juga anak jati Kluang diletakkan sebagai calon atas tiket PKR dan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu.

“Pengajaran berguna yang dapat diambil adalah melihat kepada tindakan Ahli Parlimen sedia ada iaitu Datuk Seri Santhara Kumar yang melompat parti, pada 24 Februari 2020.

“Apabila ‘melompat’, beliau langsung tidak mengendahkan parti yang banyak berjasa apatah lagi mempedulikan nasib rakyat Segamat yang memberikan undi terhadapnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semudah-mudahnya Santhara meninggalkan wadah perjuangan PKR termasuk bercuti di New Zealand selama 55 hari dan mengabaikan kebajikan pengundi di kawasannya.

“Inilah ‘penangan’ apabila calon yang diletakkan bukan anak jati tempatan. Beliau tidak mempunyai rasa bersalah kerana tahu beliau tidak dilahirkan di Segamat.

“Datuk Seri Santhara Kumar lupa bahawa akar umbi inilah yang mengundinya hingga menewaskan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam dengan perolehan 24, 060 undi. Majoriti yang diraihnya adalah 5,476 undi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, PKR Cabang Segamat tidak mahu calon parti yang diletakkan pada PRU15 adalah orang luar.

“Kami menolak sekeras-kerasnya dan kami tidak mahu dikuasai orang luar.

“Nasib warga Segamat terabai sejak beberapa tahun lalu. Selain calon, kami juga tidak mahu Penyelaras DUN mahupun Parlimen membabitkan orang luar. Mereka tidak ambil kisah kehidupan penduduk setempat dan hanya mementingkan diri,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman lalu mematangkan pihaknya dan PKR Cabang Segamat memerlukan anak tempatan yang lahir dan membesar di sini untuk mencurahkan khidmat bakti.

Ogos tahun lalu, Santhara menjelaskan beliau menyertai Bersatu atas prinsip dan kerelaan sendiri.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan itu turut menyifatkan faktor Bersatu lebih terbuka kepada semua kaum, selain berteraskan Perlembagaan Persekutuan mendorongnya menyertai parti berkenaan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here