Ronaldo balas kritikan dengan hatrik pantas

0
2
christiano ronaldo cr 7

LEDAKAN hatrik pantas Cristiano Ronaldo membalas kritikan terhadapnya sekali gus memberi Juventus kemenangan 3-1 ke atas Cagliari, di Sardegna Arena awal pagi tadi. 

Tiga jaringan dalam tempoh 21 minit dilihat sebagai tindak balas bintang Portugal itu terhadap kritikan ketumpulannya dalam kedua-dua aksi kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara yang menyaksikan pasukan itu tersengkir daripada saingan. 

Pemain berusia 36 tahun itu menanduk masuk bola pada minit ke-10 bagi gol pertama dan menyempurnakan penalti 15 minit kemudian sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-31 dalam aksi Serie A.

Juara bertahan Juventus kini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Inter Milan yang menewaskan Torino 2-1, tetapi bermain kurang satu perlawanan.

Skuad kendalian Andrea Pirlo itu berada di tangga ketiga dengan hanya satu mata di belakang AC Milan di tangga kedua, yang misi memburu kejuaraan tercalar selepas tewas 1-0 kepada Napoli di laman sendiri.

“Pendekatan kami tepat dan ia penting untuk kembali di landasan betul selepas tersingkir hari itu.

“Ronaldo berang seperti rakan sepasukan lain. Dia bertindak balas sebagai juara sebenar,” kata Pirlo seperti dilaporkan AFP. 

Ronaldo kini mendahului senarai penjaring Serie A dengan 23 gol musim ini, mengatasi Romelu Lukaku dengan 19 gol.

Jaringan keseluruhan kariernya kini 770 gol, mengatasi legenda Brazil Pele dengan 767 gol dalam perlawanan rasmi yang berjaya ditandingi awal bulan ini.

Pele turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan Ronaldo mengatasi rekodnya.

“Tahniah kerana memecahkan rekod jaringan saya dalam perlawanan rasmi. Saya amat mengagumi anda, saya suka melihat anda bermain.

“Saya cuma kesal tidak dapat memeluk anda hari ini,” kata Pele, 80, di laman Instagramnya.

Pele, satu-satunya pemain dalam sejarah yang memenangi tiga gelaran Piala Dunia, mendakwa dia meledak 1,283 gol keseluruhan, termasuk dalam perlawanan tidak rasmi.

Jumlah 668 jaringan Ronaldo adalah bersama kelab – lima ketika di Sporting Lisbon, 118 untuk Manchester United, 450 untuk Real Madrid dan 95 bersama Juventus.

Dia turut meledak 120 gol untuk pasukan kebangsaan Portugal. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here