Pegawai polis di lokasi pergaduhan di Bangsar, berada dalam pelepasan bertugas

0
2

POLIS mengesahkan seorang pegawainya berada dalam pelepasan tugas ketika di lokasi pergaduhan yang menyebabkan seorang lelaki maut dan rakannya parah di Jalan Telawi, Bangsar, tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata pegawai polis berusia 27 tahun tersebut bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

Katanya, pegawai polis terbabit menetap di Subang Jaya dan keluar makan malam bersama seorang rakannya berhampiran lokasi pergaduhan.

“Ketika pergaduhan berlaku, beliau dan rakannya dalam perjalanan mengambil kenderaan berhampiran kawasan terbabit.

“Ketika kejadian, pegawai polis terbabit tidak bekerja dan berada dalam pelepasan tugas, justeru tidak membawa senjata api bersama.

“Beliau ada dalam rakaman video pergaduhan yang tular itu dan rakaman dibuat rakannya yang juga seorang editor filem komersial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika pegawai polis itu mahu melaporkan kejadian pergaduhan berkenaan kepada pihak Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) polis.

“Bagaimanapun kenderaan polis sudah tiba ke lokasi kejadian lalu beliau terus pulang ke rumah,” katanya.

Menerusi laporan portal media, keluarga mangsa yang meninggal dunia tidak berpuas hati apabila mendakwa pegawai polis terbabit hanya menonton dan tidak menghalang pergaduhan itu daripada berlanjutan.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah dimuka selepas terbabit pergaduhan.

Lelaki yang maut dipercayai ditoreh di bahagian badan dengan senjata tajam selain turut ditikam dengan botol minuman keras.

Video pergaduhan terbabit turut tular di media sosial. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here