[Jenayah] Dua anggota polis nyaris terkena tembakan apabila penyeludup minyak melepaskan tembakan ke arah mereka di pangkalan haram Poksu Kamal, Tanah Merah, semalam.
Dalam kejadian 9 pagi itu, dua das tembakan terkena tebing sungai, manakala satu das lagi tersasar dilepaskan oleh dua suspek dipercayai warga Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, terdahulu dua anggota polis dari Balai Polis Nibong melakukan rondaan sempadan di lokasi berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota melihat lelaki menyeberangi sungai.
“Sebaik anggota kami menghampiri, lelaki berkenaan terjun ke sungai bersama tujuh tong disyaki berisi minyak yang diikat bersamanya, bergerak ke Thailand.
“Sebaik lelaki berkenaan sampai di tebing sungai sebelah Thailand, tiba-tiba keluar dua lelaki masing-masing membawa selaras senapang angin dan melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota polis,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Shafien berkata, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai melepaskan tembakan menggunakan senapang angin.
Katanya, suspek juga dipercayai penyeludup warga Thailand yang tidak berpuas hati kepada anggota polis yang kerap melakukan rondaan di tebing sungai sempadan Malaysia-Thailand.
“Kedua-dua anggota polis berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

