BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Kerajaan Persekutuan bertindak lebih agresif dan proaktif berhubung penempatan haram di Bukit Malut, Langkawi.
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, beliau mengikuti dengan teliti perkembangan berkenaan situasi penempatan kawasan terbabit.
“Isu ini sudah berlarutan agak lama juga semasa saya menjadi Perdana Menteri,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Justeru, beliau berkata, penyelesaian isu ini memerlukan tindakan pro-aktif Kerajaan Persekutuan.
“Ini kerana sebahagian besar masalah yang perlu diselesaikan melibatkan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Jelas Dr Mahathir, pembangunan penempatan untuk menampung jumlah penduduk yang akan dipindahkan melibatkan peruntukan besar, hanya boleh didapati dengan bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Kedah tidak mungkin mampu untuk sediakan peruntukan sebegitu besar untuk bangunkan penempatan baru, tetapi perlu memainkan peranan untuk selesaikan perkara-perkara berkaitan yang melibatkan kuasa negeri,” katanya.
Sejak Julai tahun lalu, media melaporkan penempatan haram di Bukit Malut didapati semakin membesar dengan pembinaan lebih banyak rumah dan pembukaan tapak baharu tanpa kebenaran termasuk menarah lereng bukit.
Kegiatan meratakan hutan lereng bukit itu didakwa dilakukan pihak tertentu untuk menjualnya kepada warga asing yang berminat membina rumah baharu yang turut dilengkapi bekalan air dan elektrik.
Dianggarkan kira-kira 1,000 rumah dibina di kawasan merangkumi hutan paya, pesisir laut dan lereng bukit dengan jumlah penduduk dikatakan sudah melebihi 10,000 orang ketika ini, berbanding hanya kira-kira 800 rumah tahun 2019.
Selain masalah sosial, kawasan berkenaan turut menimbulkan masalah dari segi kebersihan apabila kepadatan penduduk yang terlalu ramai menyebabkan timbunan sampah terbiar di hampir semua kawasan penempatan berkenaan. – Malaysiapost

