Tun M sokong Deklarasi Merayu Penamatan Proklamasi Darurat

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan pendiriannya untuk menyokong Deklarasi Merayu Penamatan Proklamasi Darurat.  

Menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya, Dr Mahathir memohon Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah agar mempertimbangkan rayuan deklarasi itu untuk menamatkan proklamasi darurat. 

“Dengan ini kami rakyat Malaysia, dengan rendah hati ingin merayu kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu untuk mempertimbangkan sembah rayuan ini demi mempertahankan negara tercinta,” katanya hari ini. 

Terdahulu, kempen rayuan rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong agar menamatkan segera pemerintahan darurat dilancar hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Deklarasi Merayu Penamatan Proklamasi Darurat, Khalid Abd Samad melancarkan kempen berkenaan di Kampung Bharu, Kuala Lumpur pagi tadi. 

Menurut Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, jawatankuasa tersebut tidak bersifat politik dan lebih kepada penglibatan rakyat prihatin menolak darurat, biarpun dipengerusikan oleh ahli politik. 

“Saya perlu jelaskan jawatankuasa ini bukan bersifat politik, bukan atas nama Pakatan Harapan atau mana-mana parti politik, tetapi atas inisiatif individu yang menganggap kempen untuk menamatkan darurat ini perlu dilakukan dengan lebih berkesan dan sempurna dengan melibatkan rakyat. 

“Walaupun ada ahli politik dalam jawatan kuasanya tetapi kita bertindak sebagai individu dan ada ahli-ahli NGO serta masyarakat awam (dalam jawatankuasa),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here