Wanita Umno, Muslimat PAS mohon segerakan rayuan pertahan kalimah Allah

0
3

Nurul Huda Abhar

WANITA Umno dan Dewan Muslimat PAS menyokong ketetapan yang dibuat Muafakat Nasional (MN) menggesa kerajaan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung kebenaran bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kedua-dua pihak merayu agar kerajaan segera mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang merupakan episod malang buat umat Islam di negara ini.

“Selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan demi menjaga kesucian agama Islam, sewajarnya penggunaan kalimah Allah tidak seharusnya dibenarkan penggunaan dalam kalangan bukan Islam.

“Ia bukan saja bagi memelihara kesucian agama Islam yang merupakan agama rasmi di negara ini, tetapi juga untuk memastikan keharmonian hidup masyarakat yang berbilang agama dan kaum dengan menghormati hak dan kebebasan beragama yang telah diterapkan di negara ini sejak sekian lama.

“Kebenaran kepada bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah dikhuatiri menjadi satu provokasi kepada umat Islam dan menjejaskan kedamaian sedia ada,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Umno dan PAS secara konsisten menolak penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

“Sekali lagi kami menyeru dan merayu kerajaan agar segera mengemukakan rayuan bagi mempertahankan kalimah Allah daripada digunakan oleh bukan Islam,” ujarnya.

Rabu lalu, Hakim Nor Bee Ariffin membuat keputusan berhubung kebenaran bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Ia selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau melarang pengimportan bahan pendidikan.

Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Bagaimanapun, penggunaan perkataan itu perlu disertakan dengan penafian hanya untuk orang Kristian dan lambang salib di muka hadapan kulit buku. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here