Nurul Huda Abhar
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan peraturan Ordinan Darurat bagi kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang digariskan kerajaan tidak membezakan jenis perlakuan yang dilakukan.
Ini termasuk tindakan tidak sengaja dan kurang serius seperti lupa atau gagal mengimbas aplikasi MySejahtera, ataupun tidak memakai pelitup muka berbanding dengan kesalahan lebih serius seperti melanggar arahan kuarantin wajib dan rentas negeri tanpa kebenaran.
“Ini satu lagi contoh kenapa langkah kerajaan wajar dibincang dan diluluskan dalam Dewan Rakyat terlebih dahulu supaya ianya lebih adil pada Rakyat.
“Namun nilai kompaun RM10,000 ini masih boleh diturunkan mengikut budi bicara Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) jika pesalah membuat rayuan.
“Notis kompaun ditulis bernilai RM10,000 jika melanggar prosedur operasi standard (SOP), namun ia bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa iaitu PKD untuk menetap nilai sebenar kompaun dikenakan.” Katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu mengulas mengenai kompaun yang dikeluarkan pihak berkuasa bertarikh 11 Mac berkenaan kesalahan gagal mengimbas kod QR di aplikasi MySejahtera.
Individu tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000.
Sementara itu, Najib berkata polis terpaksa mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 bagi setiap notis yang dikeluarkan.
Ini kerana, katanya, polis tiada kuasa untuk mengeluarkan kompaun yang lebih rendah (atau lebih tinggi) kerana terpaksa mengikut pindaan Ordinan Darurat dibuat kerajaan Perikatan Nasional yang menaikkan nilai kompaun bagi sesiapa yang melanggar SOP.
Terdahulu, kompaun sehingga RM10,000 boleh dikenakan kepada individu yang melanggar SOP ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan Covid-19.
Kompaun berkenaan berkuat kuasa semalam, menerusi Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan 25 Febuari lalu.
Kini, denda RM10,000 dikenakan kepada individu atau syarikat yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan.
Menerusi pindaan itu juga, syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.
Selain itu, orang ramai yang melakukan kesalahan Ordinan Darurat boleh ditangkap, manakala individu dijangkiti atau disyaki terkena jangkitan atau menjadi kontak pula boleh dipakaikan dengan peranti pengesanan. – Malaysiapost

