GERAMM bimbang ordinan kekang berita tidak benar

0
2

GERAKAN Media Merdeka (Geramm) menyuarakan kebimbangan terhadap langkah kerajaan mewartakan ordinan bagi mengekang apa yang disifatkan sebagai “berita tidak benar” berkenaan wabak Covid-19.

Ia susulan peraturan berkenaan tidak digubal oleh ahli-ahli parlimen yang dipilih secara sah oleh rakyat Malaysia.

Geramm dalam satu kenyataan hari ini berpendapat peraturan tanpa takrif “berita palsu” yang jelas itu, dikhuatiri boleh disalahgunakan dan memberi kesan negatif terhadap kebebasan media.

“Penggubalan undang-undang ini juga dilihat agak kontroversi, mengambil kira pertikaian tentang keperluan pengistiharan darurat dalam situasi ketidakpastian status majoriti pemerintah.

“Justeru, Geramm menuntut agar segala peraturan seperti yang telah diwartakan tidak digunakan untuk menindas atau senjata mendiamkan, menekan atau membuli pihak tertentu yang tidak sehaluan,” katanya.

Menurut Geramm, kedaaan itu juga menyukarkan media untuk melaksanakan tugas sebagai penyemak-imbang sekiranya peraturan ini disalahgunakan untuk melindungi perbuatan pihak-pihak tertentu.

“Kami kekal dengan pendirian yang disuarakan sebelum ini bagi menentang penggubalan Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018 melalui kempen melawan berita palsu dengan fakta, bukan Akta.

“Antara lain kami secara konsisten menyokong apa-apa inisiatif semak fakta (fact checking), terutama di masa pandemik yang menyaksikan banyak kekeliruan tercetus akibat perkongsian fakta tidak benar,” katanya. 

Ordinan bagi mengekang apa yang disifatkan sebagai “berita tidak benar” berkenaan wabak Covid-19 dan proklamasi darurat itu dinamakan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 dan akan berkuat kuasa esok. 

Menurut warta kerajaan mengenai ordinan itu yang dikeluarkan hari ini, mana-mana pihak yang “mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan” berita tidak benar dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain boleh dikenakan tindakan.

Ordinan itu terpakai kepada semua individu tanpa mengira kewarganegaraan dan walaupun kesalahan dibuat di luar Malaysia.

Pihak yang bersalah boleh dihukum denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan yang berterusan, denda yang dikenakan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabit an. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here