OPERASI pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semalam, menahan 242 individu atas pelbagai kesalahan dan daripada jumlah itu, 240 dikompaun manakala dua direman.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara kesalahan dikesan adalah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (88), tidak memakai pelitup muka (66), dan tiada penjarakan fizikal (46)
“Turut dikesan kesalahan membabitkan aktiviti pusat hiburan (6), aktiviti rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (33) dan premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (2).
“Turut dikesan satu kes ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, kawalan sempadan negara melalui Op Benteng semalam, telah menangkap 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas satu kapal/bot dan empat kenderaan darat.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 86 bot/kapal di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan,” katanya. – Malaysiapost

