Nak buat laporan polis, tapi dihantar ke hospital

0
3

Salah faham kerana memakai “gelang berwarna merah jambu” menyebabkan Balai Polis Sentul, di Kuala Lumpur hari ini terpaksa ditutup untuk beberapa jam.

Semua bermula dengan kehadiran warga emas yang ingin membuat laporan polis kerana dihalang untuk solat berjemaah di masjid kerana memiliki gelang tangan berkenaan.

Memetik laporan Malaysiakini, belum sempat membuat laporan polis, warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Razak dibawa ke hospital menaiki ambulans kerana disyaki pesakit Covid-19.

”Saya masuk hospital enam hari sebab sesak nafas, masalah jantung. Semalam baru keluar.

“Lupa nak tanggalkan gelang hospital itu (gelang merah jambu),” katanya seperti dilaporkan.

Pada awalnya, Razak, 80, menjelaskan alasan dia ingin membuat laporan polis kerana berasa berang dengan sikap jemaah masjid di kawasan yang menghalaunya ketika ingin mendirikan solat Asar di rumah ibadat itu atas alasan yang sama.

“Mereka halau dan pukul sebab ingat gelang saya pakai itu Covid-19.

“Saya juga tidak tahu mereka kata apa, sebab tak dengar sangat. Mereka pukul. Saya marah hendak pergi nak buat laporan polis.

“Tetapi bila sampai (Ibu Pejabat Daerah) Sentul polis pula ingat saya ada Covid-19,” katanya lagi.

Belum sempat menceritakan perkara sebenar, petugas hospital datang memakai sut perlindungan diri (PPE) membawanya ke hospital.

Bagaimanapun pihak hospital mengesahkan yang dia bebas daripada wabak itu.

Terdahulu tular di media sosial mengenai penutupan balai polis berkenaan kerana dikaitkan dengan kehadiran individu yang memakai galang merah jambu itu.

Ketua Polis Sentul Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan perkara itu.

Jelas Shanmugamoorthy, balai polis itu telah beroperasi seperti biasa jam 4 petang tadi selepas proses sanitasi kedua diadakan.