Hishammuddin ‘hero sebenar’ pulih hubungan dengan Arab Saudi – Asyraf Wajdi

0
2

HUBUNGAN antara Malaysia dengan Arab Saudi kini dilihat kembali akrab dengan kunjungan deligasi Malaysia ke negara itu minggu ini.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mendakwa hubungan dengan Arab Saudi sebelum ini terjejas seketika apabila Pakatan Harapan (PH) memegang kuasa selama 22 bulan.

Menurutnya, individu yang perlu diberi kredit dalam usaha menjernihkan hubungan antara dua negara itu adalah Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Pepatah Inggeris ada menyebutkan ‘Give credit where credit’s due’. Demikian jugalah perihalnya dengan kejayaan besar kerajaan Malaysia menjernihkan kembali hubungan kerjasama dengan Arab Saudi yang terjejas seketika apabila PH memegang kuasa selama 22 bulan.

“Sudah tentulah figura terpenting yang memainkan peranan ini adalah Menteri Luar dari Umno-Barisan Nasional (BN) sendiri YB Datuk Seri Hishammuddin Hussein,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, pengalamannya yang pernah diberikan tanggungjawab terbabit langsung dalam siri-siri perundingan dengan kerajaan Arab Saudi ketika BN mentadbir negara dahulu.

“Ini termasuklah menghadiri beberapa pertemuan dengan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammad Bin Salman, ternyata kehebatan diplomasi Datuk Seri Hishamuddin memang berada pada kelas tersendiri.

“Ditambah dengan hubungan tersedia akrab keluarga DiRaja Arab Saudi dengan Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, banyak manfaat apabila hubungan dua negara terutamanya dengan Arab Saudi dipelihara dan diperkukuhkan.

“Antaranya yang bakal rakyat dapat manfaat termasuklah penambahan Kuota Haji dan layanan istimewa buat jemaah haji Malaysia.

“Manfaat lain adalah peningkatan perdagangan minyak sawit yang pastinya akan beri kesan langsung kepada peningkatan harga sawit yang bukan sahaja menggalak pertumbuhan ekonomi bahkan memanfaatkan lebih 650,000 pekebun kecil sawit dan 112,635 peneroka Felda.

“Selain itu, dapat meningkatkan lagi kerjasama perniagaan antara syarikat minyak gergasi dunia Saudi Aramco dengan Petronas,” katanya.

Menurutnya, banyak lagi kerjasama strategik lain yang bakal dijalinkan antara kedua negara ini dengan memberikan manfaat besar kepada rakyat dan negara.

“Sekali lagi tahniah buat Datuk Seri Hishammuddin Hussein, hero sebenar yang berjaya menyelamatkan dan menjernihkan kembali hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi yang dirosakkan oleh jerajaan PH lalu.

“Moga selepas ini dapat diteruskan pula dengan negara-negara lain termasuk China, iaitu antara negara yang paling terkesan dengan tindak-tanduk kerajaan PH lalu akibat kurangnya kebijaksanaan dalam menguruskan hubungan diplomatik dengan negara-negara luar,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/09/hubungan-arab-saudi-hishammuddin-tak-perlukan-nasihat-dari-mat-sabu/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here