Aiman Hanif
Barisan Nasional (BN) tidak mencampuri urusan rakan sekutunya PAS untuk menyertai jawatankuasa penaja bagi mendaftarkan Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN ataupun Umno tetap dengan keputusan mereka untuk tidak menyertai PN.
“Kita tidak mencampuri urusan hal ehwal parti lain, biarpun mereka bersama-sama dalam Muafakat Nasional (MN).
“Kita telah mengambil keputusan muktamad bahawa parti tidak akan menyertai PN sebagai komponen kepada PN,” katanya kepada media di Tanjung Malim, malam ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang mengesahkan parti itu berada dalam jawatankuasa penaja bersama Bersatu untuk mendaftarkan PN.
Pada 30 Julai lalu, Ahmad Zahid mengumumkan keputusan Umno untuk tidak menyertai PN secara rasmi.
Beliau berkata Umno sebaliknya akan terus memperkasakan MN bersama-sama dengan PAS dan parti komponen BN yang lain.
Menurutnya, sokongan kepada Kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan Ahli Parlimen Umno dan BN di Dewan Rakyat dan Adun di peringkat negeri.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata, Umno, BN akan terus menyokong dan mendokong kerajaan PN yang dibentuk kini.
“Pendirian Umno dan BN cukup jelas bahawa ahli-ahli Parlimen dan Adun menyokong PN.
“Kami akan terus mendokong kerajaan yang ada di peringkat Pusat dan negeri,” jelasnya.

