Najamuddin Mohd Nor
PAS tetap dengan pendirian untuk terus berkawan dengan Umno dan Bersatu.
Naib Presidennya, Idris Ahmad menegaskan, tiada berlaku sebarang pertelingkahan antara PAS dengan Umno, malah parti itu akan memastikan hubungan baik ini terus dipelihara.
Katanya, ia termasuk hubungannya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) demi memastikan tampuk pemerintahan negara tidak dirampas semula oleh Pakatan Harapan (PH).
“PAS konsisten dengan naratif menjaga hubungan dengan Umno dan PAS. Kami mahu berkawan dengan kedua-dua parti.
“Janganlah kita bergaduh sesama sendiri kerana itu akan menguatkan musuh, dan PAS mahu berkawan dengan Umno dan Bersatu bagi menghalang PH merampas kembali Putrajaya,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Semalam, Umno dan PAS telah bermesyuarat bagi membincangkan agenda membabitkan Muafakat Nasional (MN).
Suhu kerjasama antara dua parti itu kini menjadi panas dan tanda tanya susulan Umno mengumumkan tidak akan bersama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU0-15), manakala PAS pula membuat keputusan kekal menjadi komponen Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan pendirian parti itu untuk tidak akan memberi kata dua kepada PAS yang dilihat memilih untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
“Itu hak PAS untuk bersama PPBM (Bersatu) tiada kaitan dengan Umno yang ingin memperkuatkan hubungan dengan PAS.
“Hubungan PAS dan Umno bermula lebih awal berbanding hubungan PAS dengan PPBM dalam PN.
“Jadi tak ada sebab kenapa kami perlu beri kata dua,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

