DUA pelajar yang menunggang motosikal dengan memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru Rabu lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bahru hari ini, atas pertuduhan menghina.
Kedua-dua tertuduh yang berusia 17 tahun itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar berkenaan didapati memakai baju yang mempunyai tulisan bermaksud menghina atau lucah sehingga mengganggu keamanan setempat kerana dipakai di tempat awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bulatan Chempaka, pada jam 4 petang 3 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 mengikut akta yang sama.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, S Gayathri, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Malaysia, Nik Nazriani Nik Abd Rahman.
Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diberi jamin RM100 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun bagi sebutan semula kes dan laporan akhlak.
Baru-baru ini tular di laman sosial gambar pelajar membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar sambil bajunya tertera kata-kata kesat kepada guru.
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/07/maafkan-saya-cikgu-pelajar-carut-guru-buat-permohonan-maaf/

