Buku teks agungkan komunis, beberapa pihak dipanggil Kaukus

0
2

KAUKUS Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara bakal memanggil beberapa pihak untuk memberi penjelasan berkaitan isu kandungan buku teks Sejarah Tingkatan Empat yang didakwa terdapat fakta yang dimanipulasikan.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, antara yang akan dipanggil ialah Kementerian Pendidikan, dua bekas Menteri Pendidikan dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang membangkitkan isu berkenaan sebelum ini serta beberapa pakar dalam bidang sejarah Malaysia.

Katanya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat secara maya bersama anggota jawatankuasa kaukus minggu lepas dan surat rasmi akan dikeluarkan kepada Kementerian Pendidikan terlebih dahulu untuk hadir pada sesi pendengaran mesyuarat kaukus dalam tempoh terdekat ini.

“Hal sedemikian sangat serius kerana polemik ini pastinya memberi kesan dan membabitkan golongan pelajar, guru, pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta sistem pendidikan negara secara keseluruhannya.

“Soal yang membabitkan pendidikan termasuk fakta sejarah perlu dilihat secara ilmiah dan intelektual, fakta yang benar dan tepat, tetapi bukanlah terarah dari sudut mainan politik semata-mata,” katanya seperti dilapor Bernama.

Antara lain, buku teks yang diperakui sah oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM pada 24 April 2018 itu didakwa mengandungi unsur-unsur mengagungkan komunis dalam perjuangan negara mencapai kemerdekaan.

Oktober lalu, Malaysiapost mendedahkan teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah Tingkatan 4 didakwa mengangungkan Parti Komunis Malaya (PKM).

Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, menerusi Bab 6 buku teks tersebut, peranan PKM sangat menonjol berbanding paparan mengenai perjuangan Umno ketika menuntut kemerdekaan.

Katanya, walaupun tajuk babnya ‘Ancaman Komunis dan Pengistiharan Darurat’ namun huraian mengenai PKM dan gerakannya mengangkat senjata menentang British, Raja-Raja Melayu dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu diceritakan terperinci, mengatasi kepentingan pihak berkuasa menentang PKM.

Dalam bab tersebut, beliau menjelaskan penulis meletakkan senarai serangan PKM pada muka surat 151 sebagai satu matlamat penting. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2020/10/24/sejarah-tingkatan-4-agungkan-komunis/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here