Kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019, susulan bantahan pelbagai pihak dan akan diganti dengan RUU baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata RUU baharu itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Ogos, tarikh sama RUU IPCMC 2019 sepatutnya dibahaskan.
Katanya, RUU baharu itu tetap berkaitan salah laku polis, tetapi diubah suai dan diberikan nama berbeza.
“Sesetengah isi kandungan dalam RUU itu (IPCMC) tidak dipersetujui oleh anggota polis. Jadi kerajaan, KDN (Kementerian Dalam Negeri), memutuskan untuk perkenalkan yang (RUU) baru,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau ditemui selepas penyerahan watikah pelantikan Pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di Putrajaya, hari ini.
Takiyuddin berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dijangka membentangkan RUU baharu bagi bacaan pertama dan bacaan kedua pula pada keesokan hari.
RUU IPCMC 2019 dibentang kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai tahun lalu, bagi meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.
Terdahulu dalam ucapannya, Takiyuddin berkata, fungsi EAIC bukan hanya tertumpu menjalankan siasatan aduan salah laku, sebaliknya turut berperanan memantau prosedur operasi standard (SOP) agensi penguatkuasaan, termasuk lawatan ke premis seperti depot tahanan dan lokap polis.
“Hasil daripada perjalanan fungsi ini, EAIC akan mengesyorkan kepada kerajaan langkah dan usaha penambahbaikan yang perlu diambil bagi memantapkan mutu perkhidmatan agensi penguatkuasaan tersebut.
“Usaha penubuhan EAIC oleh kerajaan sejak dari 2011 bukanlah untuk mencari kesalahan dan keaiban seseorang pegawai atau sesuatu agensi penguatkuasaan semata-mata.
“Suruhanjaya ini juga sebenarnya perisai kepada agensi penguatkuasaan dan medium untuk membantu agensi penguatkuasaan persekutuan memantap lagi kualiti integriti tenaga kerja mereka, justeru, membantu kerajaan memperbaiki sistem penyampaian,” katanya.
Pada majlis itu, Takiyuddin menyampaikan watikah pelantikan kepada pengerusi dan pesuruhjaya EAIC bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Julai.
Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dilantik pengerusi EAIC manakala bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali sebagai timbalan pengerusi.
Suruhanjaya itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk John Louis O’hara dan Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

