Calon PRU15 Umno perlu jadi rakyat, bukan golongan elit – Ku Li

0
2

UMNO perlu menampilkan calon yang bebas daripada kes mahkamah, tidak sombong dan tegas bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tegas Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Menurutnya, calon-calon Umno perlu memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran, bukan sekadar duduk di dalam pejabat dan mengeluarkan perintah.

“Mereka (calon) perlu menjadi sebahagian daripada rakyat. Bukan daripada golongan elit,” katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.

Beliau berkata, ahli-ahli politik juga harus bersedia menjawab soalan melalui telefon bimbit mereka kerana rakyat mahukan jawapan.

“Kita perlu bertindak balas. Kita tidak boleh mengabaikan persekitaran kita. Itu adalah tanggungjawab kita,” katanya.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li turut mengingatkan bahawa Umno adalah sebahagian daripada gerakan rakyat untuk melindungi orang Melayu dan sultan semasa negara dijajah.

“Ia memiliki dasar nasionalisme, bukan ditubuhkan oleh individu,” katanya.

Mengulas mengenai masa depan Umno, beliau yakin parti itu akan bertahan selagi mempunyai sokongan dan keyakinan rakyat.

Sementara itu, ditanya mengenai ketidakstabilan politik, beliau bagaimanapun mempersoalkan sama ada perdana menteri masih mempunyai sokongan majoriti.

Katanya, sidang Parlimen diperlukan untuk menentukan sokongan ini.

“Sekiranya (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) mendapat sokongan, tidak ada siapa yang mahu mengambil tempatnya,” katanya sambil menjelaskan ia sebahagian dari perlembagaan yang perlu dilindungi.

Dalam wawancara itu, Ku Li turut menimbulkan persoalan mengenai keyakinan pelabur terhadap negara dan kehilangan pekerjaan hingga mengakibatkan rakyat menderita.

“Kekosongan tunggal jawatan kerani menyaksikan lebih 400 pemohon. Ada pula yang makan dua hari sekali. Cuba tanya (orang ramai). Saya sudah bertanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here