Acara langsung, pengambaran luar studio, persembahan di hotel dibenarkan

0
2

KERAJAAN memberi kelonggaran kepada industri kreatif apabila membenarkan acara langsung dengan kehadiran penonton dan penggambaran luar studio bermula esok.  

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kelonggaran itu diberikan selepas Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendengar permohonan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).  

Menurutnya, Mesyuarat Teknikal MKN dimaklumkan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada pekerja industri kreatif sangat besar di mana 30,000 pekerja industri perfileman dan 10,000 industri muzik terjejas dengan keseluruhan pekerjaan membabitkan 300,000 orang.  

“Setelah membuat penilaian risiko dan mendengar nasihat dan persetujuan Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju untuk membenarkan acara langsung dengan kehadiran penonton bagi kawasan PKPB dan PKPP bermula esok,” katanya dalam sidang media hari ini  

Beliau berkata, kebenaran itu bagaimanapun perlu mematuhi beberapa syarat serta prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.  

“Di kawasan PKPB kehadiran 50 peratus kapasiti ruang acara dengan mematuhi aspek penjarakan sosial, manakala di kawasan PKPP kehadiran mengikut keluasan premis dan tertaluk kepada penjarakan sosial  

“Acara langsung merangkumi program rasmi kerajaan, program televisyen, seni muzik, seni tari, seni teater, seni muzikal, komedi, persembahan kebudayaan dan warisan serta ‘live streaming’.  

“Terhad di lokasi yang dikhaskan dan di ruang acara yang berlesen sahaja seperti pusat konvensyen, galeri pameran, pusat dagangan, premis seni dan lain-lain premis MICE berlesen,” katanya.  

Menurutnya, pendaftaran atau penjualan tiket bagi program yang ingin diadakan hanyalah secara atas talian, selain perlu mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter antara setiap tempat duduk penonton.  

“Penjarakan sosial antara artis, pemuzik dan penari di atas pentas pula adalah dua meter jarak kedudukan mereka.  

“Pembelian makanan dan minuman secara pra pesan atau pre order dan berbungkus,” katanya.  

Ismail Sabri berkata, penganjur juga perlu menyediakan pasukan pemantau atau penyelia untuk memantau pelaksanaan penjarakan sosial dan pematuhan SOP sepanjang masa.  

“Penganjur wajib menayangkan pesanan khidmat masyarakat daripada kerajaan berkaitan Covid-19 sebelum, semasa dan selepas setiap program,” katanya.  

Selain itu, beliau berkata pengambaran di luar studio di kawasan PKPB dan PKPP juga dibenarkan namun tertakluk kepada SOP pembangunan kreatif dan perlu mematuhi syarat-syarat oleh Perbadanan Kemajuan Fikem Nasional Malaysia (FINAS)  

“Turut dibenarkan adalah persembahan di hotel lounge dengan mematuhi SOP asas dan protokol kesihatan seperti penjarakan sosial 2 meter,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here