Parti Pejuang perkenal logo, cogan kata

0
2

Parti Pejuang Tanahair atau singkatannya Pejuang, parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memperkenalkan logo serta cogan kata yang dijangka digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook Dr. Mahathir bin Mohamad, nama Pejuang merujuk kepada setiap ahli parti yang tekad menggenggam dan menjulang prinsip perjuangan parti tanpa kompromi.

Tanahair pula merujuk kepada negara Malaysia tercinta, manakala cogan perjuangan parti itu ialah ‘Pejuang Berprinsip’.

Lambang parti itu berbentuk huruf jawi “Pa” yang seakan-akan perisai berserta tiga titik di atasnya dan mempunyai tulisan “PEJUANG” berwarna hitam di bawahnya.

Perisai pula adalah simbolik kepada pelindung, pertahanan dan para pejuang parti yang sentiasa sedia berkhidmat untuk masyarakat dan negara.

Perisai Pejuang itu secara khusus akan bertindak mempertahankan maruah Melayu dan rakyat Malaysia.

Menjelaskan pemilihan huruf jawi, kenyataan itu menyebut jawi dan Melayu amat sinonim dan huruf “Pa” yang disusun gaya moden agar sentiasa bersesuaian dengan suasana negara, generasi era alaf baru dan masa depan.

Penggunaan huruf Jawi (mewakili Melayu) juga selari dengan tujuan penubuhan dan keahlian parti Pejuang khusus untuk Melayu yang bersifat inklusif dan moderat.

Titik tiga di atasnya pula melambanhkan hidup ini asasnya bertunjangkan rukun yang dijunjung.

Sebagai muslim, dua rukun utama iaitu Rukun iman, Rukun Islam dan sebagai rakyat Malaysia kita juga mesti menjunjung Rukun Negara.

Maka lengkaplah perlambangan sebuah parti yang mempunyai asas yang amat kukuh. Antara lain, tiga perkara utama perjuangan politik Pejuang ialah sentiasa berpandukan prinsip Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan, dan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Dari segi pengertian warna, parti itu menggunakan warna asas biru dengan tona baharu dan sedikit berbeza dari biasa.

Warna biru menurut Pejuang, adalah perlambangan kesatuan dalam berparti dan bernegara.