Lebih ramai penjawat awam di Sabah kembali bekerja di pejabat esok

0
2

LEBIH ramai penjawat awam di Sabah akan kembali bekerja di pejabat esok susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri berkenaan sejak Jumaat lalu. 

Jumlah penjawat awam ditingkatkan kepada 90 peratus daripada 50 peratus sebelum ini. 

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata ketua organisasi hendaklah memastikan kehadiran penjawat awam ke pejabat mencapai tahap 90 peratus pada waktu bekerja manakala 10 peratus dibenarkan bekerja dari rumah. 

“Kerajaan negeri sekali lagi mengingatkan semua penjawat awam supaya mematuhi sepenuhnya peraturan semasa dan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan KKM atau pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 Sabah malam ini.

Sementara itu, mengenai perkembangan semasa Covid-19 di Sabah, beliau berkata sebanyak mencatat 71 kes baru dicatatkan hari ini dengan dua kematian, masing-masing di Kota Kinabalu dan Keningau.

“Jumlah pesakit Covid-19 yang dibenarkan keluar hospital pada hari ini pula ialah seramai 129 orang menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 52,290 orang setakat ini.

“Pesakit sedang menerima rawatan pula ialah seramai 594 orang iaitu 220 orang di hospital, 372 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam dan dua orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS),” katanya.

Menurutnya, lapan daerah masih berada dalam Zon Merah dengan Nabawan mencatat jangkitan baru tertinggi sebanyak 19 kes, diikuti Kota Kinabalu, 10 kes.

Katanya, lapan lagi daerah lain pula berada dalam Zon Jingga, diikuti 10 daerah dalam Zon Kuning dan satu daerah iaitu Tongod kekal dalam Zon Hijau. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here