Antivaksin: ‘Saya pernah dilempar kata kesat, dituduh bawa agenda Yahudi’

0
2

TIMBALAN Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim mengakui pernah dilemparkan kata-kata kesat selain dituduh sebagai musuh Islam yang membawa agenda Yahudi kerana mempromosi vaksin Covid-19.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata, dalam memberi kefahaman kepada orang ramai mengenai vaksin Covid-19 beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai tuduhan melampau termasuk ada yang menggelarkannya sebagai dajal, iluminati serta anti sunnah.

“Saya sendiri ketika mula dipertanggungjawabkan membantu kejayaan usaha menyelamatkan negara melalui Program Imunisasi Covid19 Kebangsaan, memberi kefahaman tentang Vaksin Covid19, bukan sedikit kata kata kesat yang perlu saya terima.

“(Antaranya dianggap) musuh Islam, bawa agenda Yahudi, mesti dipecat dan jatuhkan dalam PAS kerana merosakkan perjuangan PAS yang perjuangkan Islam (kerana usahakan program vaksin). Ada yang terus cop sebagai dajal, Illuminati, anti sunnah Rasulullah SAW,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, pihak yang ‘menyerang’ itu bukan di kalangan orang luar sebaliknya kawan termasuk sahabat yang rapat dengannya.

“Ramai yang ‘nasihatkan’ saya: ” Sheikh, enta jangan teruskan yang vaksin tu. Nanti enta jatuh”.

“Kerana itu saya menolak dengan baik dan berkata jika diminta saya memilih antara menyatakan kebenaran dan pelihara pangkat dan jawatan. Saya pilih menyatakan kebenaran,” katanya.

Ahmad Amzad berkata, bagaimanapun beliau bersyukur kerana semakin ramai yang faham dan menyokong usaha vaksinasi ini demi kepentingan bersama.

“Malah ada yang membantu. Paling tidak pun, mereka tidak lagi mengata yang bukan bukan,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan bekas pelakon, Zul Yahya yang menghentam PAS susulan isu vaksin berkenaan, Ahmad Amzad berkata, ia adalah perkara biasa.

“Teruskan berbuat baik. Mungkin ada perkara tertentu yang dia tidak puas hati itu pernah berlaku. Kita muhasabahlah diri. Betulkan dan perbaiki.

“Kita bukanlah maksum tak pernah buat salah. Yang penting kita usaha gigih lagi jadi lebih baik dan berubah. Orang harapkan PAS jadi baik. Kalau boleh jadi baik macam Nabi,” katanya.

Beliau berkata, situsasi itu berlaku kerana ramai yang dilihat terpengaruh dengan berita yang tak betul, fitnah, keliru atau tidak memahami konteks isu yang diulas serta fakta yang tidak tepat.

“Kesimpulannya. Usah keluh kesah. Teruskan nyatakan apa yang benar. Sambil jangan lupa bermuhasabah. Berubah jadi lebih baik lah. Bukan berubah jadi ‘rimau akor’,” katanya.

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/05/antivaksin-polis-pantau-facebook-bekas-pelakon/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here