Nurul Huda Abhar
WANITA penggerak kemajuan dan pembangunan negara, kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, tiada kehadiran insan bernama wanita bererti tiada sesebuah keluarga yang mampu melahirkan pemimpin yang hebat.
“Tangan yang mengayun buaian mampu menggoncang dunia. Itu peribahasa selalu diungkap bagi menggambarkan betapa hebat peranan wanita.
“Wanita menyumbang tenaga, memacu keringat bersama mencorakkan institusi kekeluargaan dan pengukuh masyarakat penyayang,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Beliau berkata, jika mengimbau kembali sejarah kemerdekaan negara, semangat juang wanita tidak pernah luntur.
Menurut Ahmad Zahid, jasa wanita bersama-sama mengharungi kepayahan dan menabur bakti demi negara tercinta.
“Di sebalik sifat lemah lembut wanita, tersimpan kekuatan yang utuh. Oleh itu sayangilah isteri dan ibu kita kerana setiap kejayaan doa mereka jua. Selamat Hari Wanita Sedunia 2021,” ujarnya lagi.
Hari Wanita Antarabangsa disambut setiap tahun bagi meraikan peranan wanita dalam pelbagai bidang.
Ia di sambut pada 8 Mac bagi meraikan peranan wanita yang menjadi perintis kepada kemajuan generasi.
Membawa tema ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’, ianya dipilih oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga bagi mengangkat semangat juang wanita yang tidak mengenal penat lelah dalam mengharungi cabaran kehidupan. -Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/07/katak-selesa-seberang-jalan-burung-belatuk-kekenyangan-belakang-rumah-zahid/

