Jangan ambil garam lebih 5 gram sehari – Dr Noor Hisham

0
2
Salt on wooden background

RAKYAT Malaysia disaran mengambil garam tidak melebihi 5 gram atau kurang daripada satu paras sudu teh sehari, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kajian mendapati purata pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia adalah sebanyak 7.9 gram sehari atau bersamaan dengan 1.6 sudu teh.

Beliau berkata, pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit hipertensi (tekanan darah tinggi)yang tidak terkawal akan menyebabkan penyakit jantung serta strok dan seterusnya boleh menyebabkan kematian.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar lebih prihatin dengan mengambil 5 langkah mudah yang disarankan bagi mengurangkan pengambilan garam untuk tidak melebihi 5 gram sehari,” katanya dalam kenyataan sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2021, hari ini.

Pada tahun ini, World Action On Salt, Sugar and Health (WASSH) menetapkan bahawa Minggu Kesedaran Garam Sedunia akan disambut pada 8 hingga 14 Mac 2021.

Tema tahun ini adalah Tambah Perisa Asli, Sedikit Garam Mencukupi (More Flavour, Less Salt).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar lebih prihatin dengan mengambil lima langkah mudah yang disarankan bagi mengurangkan pengambilan garam untuk tidak melebihi lima gram sehari.

Katanya, pilihlah untuk makan secara sihat dengan mengurangkan pengambilan garam dengan mengambil langkah-langkah berikut:

  1. Kenali nama lain bagi garam dalam makanan, seperti Sodium Nitrate, Sodium Bicarbonate, Monosodium Glutamate dan lain-lain.
  2. Baca label dan bandingkan maklumat kandungan natrium sebelum membeli makanan.
  3. Hadkan pengambilan garam tidak melebihi 1 paras sudu teh sehari termasuk garam beriodin bagi mengurangkan risiko sakit jantung dan strok.
  4. Utamakan perisa asli dan kurangkan penggunaan garam, sos dan kicap dalam masakan dan
  5. Ubah suai masakan kepada lebih sihat dan kerap makan di rumah atau bawa makanan yang dimasak di rumah ke tempat kerja.

Beliau berkata, KKM juga ingin memaklumkan pelaksanaan Program Pengiodinan Garam Secara Universal (Universal Salt Iodization, USI) berkuatkuasa di seluruh Malaysia pada 1 Januari 2021.

Katanya, ia merupakan salah satu intervensi kesihatan awam dalam kalangan masyarakat sebagai usaha mencegah dan mengawal masalah kesihatan akibat kekurangan iodin (Iodine Deficiency Disorder, IDD).

“Kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan dalam usaha menjayakan strategi pengurangan pengambilan garam berlebihan di Malaysia.

“Semoga segala usaha kita untuk mengurangkan pengambilan garam berlebihan dapat membantu mencegah dan mengawal penyakit hipertensi serta komplikasinya, dan seterusnya mengurangkan kematian pramatang di kalangan rakyat Malaysia,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here