PALESTIN atau al-Quds bukan isu perjuangan agama Islam atau hal berkaitan bangsa Arab dan penduduk Palestin semasa-mata, tetapi membabitkan manusia sejagat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Kata beliau, konflik di Palestin melibatkan tanah, perjuangan kemerdekaan dan kedaulatan kemanusiaan sejagat.
Katanya, Al-Aqsa adalah milik umat Islam dan menjadi kewajipan bagi setiap ummah untuk menyumbangkan apa jua cara dan usaha bagi membebaskan Masjidil Aqsa.
“Umat Islam sewajarnya dikejutkan berkenaan isu ini serta bahayanya jika dibiarkan begitu sahaja.
“Minggu ini digelar sebagai Minggu al-Quds, yang mana kita bincang berkenaan al-Quds,” katanya dalam ucaptama perasmian Minggu al-Quds Sedunia 2021 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Persatuan Ulama Malaysia (PUM), yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Yadim hari ini.
Menurut Dr Zulkifli, satu perkara yang tidak boleh dinafikan dalam sejarah moden ialah Palestin satu-satunya negara yang terlalu banyak resolusi dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun ketidakpatuhan pada resolusi itu juga banyak.
Beliau berkata, isu Palestin cukup hebat, tetapi kerana umat Islam alpa, berlaku kejatuhan yang akhirnya diambil alih oleh Yahudi.
“Sebuah kesedaran mestilah digali, mestilah disebarkan kerana keamanan Palestin menandakan keamanan dunia.
“Palestin adalah petanda, jika baik buminya baiklah ummah sejagat, sebaliknya ummah sejagat ini dalam keadaan porak peranda terutama umat Islam. Kita akan dapati bumi Palestin sentiasa diganggu gugat. Marilah sama-sama kita menginsafi perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Dr Zulkifli mengucapkan tahniah kepada Yadim dan PUM kerana berjaya menganjurkan program itu sempena memperingati peristiwa Israk dan Miraj. – Malaysiapost

