AHLI Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sudah membuat permohonan i-Sinar namun tidak memilih amaun yang betul boleh membuat pindaan bermula esok.
KWSP dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, memaklumkan pindaan itu boleh dilakukan melalui aplikasi i-Sinar Online.
“Bagi anda yang tidak memilih amaun yang betul semasa permohonan asal dibuat, anda boleh mula membuat pindaan bermula 8 Mac 2021 melalui i-Sinar Online.
“Nantikan informasi terkini berkenaan i-Sinar yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” menurut KWSP.
Bagaimanapun, melalui infografik yang disertakan bersama hantaran itu, KWSP memaklumkan ahli yang ingin membuat pindaan pengeluaran hanya boleh menambah jumlah permohonan pengeluaran sahaja, tertakluk kepada jumlah maksimum kelayakan semasa permohonan asal dibuat.
“Sekiranya anda telah memohon amaun kelayakan maksimum semasa permohonan asal dibuat, tiada lagi pindaan amaun boleh dibuat,” katanya.
Terdahulu dalam satu lagi hantaran, KWSP mengingatkan ahli yang ingin membuat permohonan baharu, juga boleh mula melakukannya bermula esok.
Permohonan itu bagaimanapun hanya boleh dilakukan melalui i-Sinar Online.
Pada 11 Februari lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan pemansuhan syarat i-Sinar bagi memudahkan pengeluaran oleh Ahli KWSP.
Beliau berkata, pemansuhan itu berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan penambahbaikan inisiatif berkenaan dibuat selepas mengambil kira maklum balas pihak awam. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

