Nurul Huda Abhar
KLUSTER Jalan Haji Malek di Jasin, Melaka melibatkan pekerja di sebuah pasar raya menjadi kluster Baharu yang dilaporkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks bagi kluster itu dilaporkan positif Covid-19 pada 21 Februari lalu hasil saringan individu bergejala.
“Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah pasar raya yang terletak di Jalan Haji Malek, Taman Kelubi, Jasin.
“Sehingga 6 Mac (hari ini), seramai 23 individu telah disaring, di mana 11 kes dikesan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, kini kluster aktif sebanyak 478 kluster dan jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini ialah 72 kluster.
Katanya, kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Jalan Zamrud (64 kes), Kluster Jalan Muhibbah (31 kes), dan Kluster Jalan Pelabuhan (31 kes).
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga ingin memaklumkan terdapat empat (4) kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang melibatkan tiga (3) kluster berkaitan tempat kerja dan satu (1) kluster yang melibatkan komuniti,” ujarnya. – Malaysiapost
Perincian empat kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:
- Lagoon Selatan (Selangor) – tempat kerja
- Jalan Firma Dua (Johor) – tempat kerja
- Jalan Haji Malek (Melaka) – tempat kerja
- Bukit Tunggal (Sarawak) – komuniti

