Pindah kes ke Mahkamah Tinggi Bukan untuk melengah-lengah – Shahrir

0
3
KUALA LUMPUR, 17 Jan -- Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Shahrir Abdul Samad ketika temu bual khas bersama Bernama di Menara Felda hari ini. Pengerusi baharu Felda itu berikrar untuk kerap turun padang bagi memastikan kebajikan dan agenda membangunkan 112,635 peneroka tercapai. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

BEKAS Pengerusi Felda, Shahrir Ab Samad memaklumkan permohonannya untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, bukan untuk melengah-lengahkan prosiding.

Sebaliknya, Shahrir yang dituduh gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata ia disebabkan ada isu Perlembagaan dan keputusan Mahkamah Tinggi yang ada kaitan dengan fakta-fakta tuduhan terhadapnya.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata beliau menafikan menerima dana daripada Najib sejak perkara itu pertama kali didedahkan oleh Sarawak Report.

“Saya memberitahu media tempatan yang saya mohon bantuan kewangan dari DS Najib kerana beliau Presiden Umno dan dari siapa lagi saya boleh mohon bantuan kewangan, kalau tidak dari ketua parti saya.

“Ketika itu, saya sudah mula mengguna duit simpanan untuk masa persaraan saya. Duit itu diperlukan untuk penyelesaian masalah orang ramai di kawasan parlimen saya.

“Saya tidak ada sumber kewangan selain elaun dan pencen serta simpanan dan pelaburan untuk masa persaraan. Kesimpulannya, saya anggap dana dari DS Najib sebagai dana politik,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata hal berkaitan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, semua orang dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun tahu.

Kedua-duanya adalah bekas wakil rakyat Umno yang menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Mereka tidak didakwa kerana kuasa pendakwaan berada di Peguam Negara. Keputusan Peguam Negara sama sda nak dakwa dan Peguam Negara ketika itu adalah cadangan DAP dan persetujuan Tun Mahathir,” dakwanya.

Isnin lalu, media melaporkan permohonan Shahrir bagi memindahkan kes gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada LHDN dihadapinya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi akan didengar pada 30 Mac ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali selepas sebutan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas hari ini.

Shahrir, 72, dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013.

Ia bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytihar pendapatan diterima daripada bekas Perdana Menteri itu berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013.

Cek itu kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 November 2013.

Oleh itu, Shahrir didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram dan dituduh melakukan kesalahan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 25 April 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here