Nurul Huda Abhar
BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan apakah yang sedang berlaku dalam pimpinan parti tersebut sehingga wujud kenyataan bercanggah dengan keputusan yang dicapai sebelum ini.
Ia susulan beberapa pemimpin komponan BN menolak kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar menitahkan supaya sidang Parlimen diadakan segera.
“Bagaimana boleh terjadi keadaan di mana pelbagai pihak menafikan kenyataan di buat pimpinan parti yg di katakan tidak menggambarkan keputusan sebenar parti.
“Ini berlaku berkali kali.Apakah sebenarnya sedang berlaku?Ini perlu jelaskan. Ahli akar umbi makin keliru,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran sebelum ini dalam kenyataan berkata pada mesyuarat BN pada Rabu lalu bersepakat untuk tidak membuat sebarang andaian dengan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung sidang Parlimen.
Pendedahan S A Vigneswaran tersebut turut disahkan oleh beberapa pimpinan BN yang lain termasuk Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup.
Pada hantaran yang sama, menerusi ruangan komen Annuar memberi gambaran beliau tidak gentar untuk bersaing jawatan Presiden Umno yang ketika ini dipegang oleh Ahmad Zahid di Perhimpunan Agung Umno (PAU) akan datang.
“Insyaallah, orang tak berlawan sebelum sampai masa. Kata nak bercerai bila Pilihan Raya..Pilihan Raya takt ahu bila..ha ha,” tulisnya.
Semalam, kepimpinan BN merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, agar diperkenankan untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata titah berkenaan boleh dibuat Agong dengan menggunakan kuasa wewenang Duli Tuanku dibawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, sidang Parlimen dapat membentangkan beberapa perkara seperti pengisytiharan darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara.
Katanya, Keberkesanan langkah-langkah membendung Covid-19, keberkesanan Belanjawan 2021, keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi serta keperluan perpaduan bangsa Melayu dan umat Islam bersama pelbagai keturunan dalam negara agar kembali stabil. – Malaysiapost

