Nurul Huda Abhar
TIMBALAN Presiden Penyatuan Ummah Malaysia, Zamil Ibrahim memohon agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyegerakan siasatan yang sedang dilakukan terhadap keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berhubung dana 1MDB.
Zamil juga memohon agar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki mengambil perhatian berhubung siasatan terbabit.
“Saya berterima kasih dengan kenyataan balas dan saya harap siasatan ini dapat disegerakan. Saya difahamkan siasatan ini mengambil masa yang agak lama. Saya rasa memakan masa bertahun-tahun.
“Saya mohon kerjasama Datuk Zainuddin dan Datuk Azam dari SPRM dapat menyegerakan siasatan ini, kerana siasatan ini melibatkan 1MDB, kepentingan awam dan orang yang terlibat. Iaitu orang yang telah didakwa dan sedang didakwa.
“Saya percaya ini adalah bukti baharu. Mohon kerjasama Datuk (Zainuddin) segerakan siasatan ini,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Rabu lalu, polis mengesahkan sedang menyiasat suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, iaitu Datuk Dr. Tawfiq Ayman berhubung dakwaan berkaitan skandal 1MDB.
Menurut Zainuddin, siasatan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial mengesahkan siasatan masih dijalankan terhadap Tawfiq di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA, berhubung penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dalam akaun bank miliknya di Singapura.
“Memandangkan siasatan kes ini melibatkan keterangan di Malaysia dan juga di luar negara, PDRM sedang mengambil tindakan susulan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 bagi mendapatkan keterangan yang berada di luar negara,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/02/08/pihak-berkuasa-perlu-ambil-perhatian-isu-perwaja-steel-zamil/

