Ketua pegawai media BN digantung tugas, siar kenyataan kurang tepat

0
2
zahid hamidi

Nurul Huda Abhar

BARISAN Nasional (BN) mewujudkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman hari ini bagi membincangkan penyiaran Kenyataan Media Pengerusi Barisan Nasional yang tidak mendapat kelulusan pihak Sekretariat Dewan Tertinggi Barisan Nasional.

Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahri Ab Aziz berkata, ianya susulan kenyataan yang dikeluarkan kurang tepat sebagaimana yang telah diperbincang dan diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan BN.

“Merujuk kepada Kenyataan Media oleh Pengerusi BN yang bertarikh 4 Mac 2021, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan agar sedikit kekeliruan terhadap kenyataan media berkenaan adalah atas kekhilafan seorang pegawai di Sekretariat BN.

“Maka setelah mendengar pandangan Jawatankuasa Siasatan Dalaman, saya telah menggantung tugas Ketua Pegawai Media BN bagi tempoh satu bulan berkuatkuasa serta merta.

“Ini juga bagi membolehkan proses siasatan dalaman dapat dilaksanakan dengan lebih terperinci dan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kepimpinan BN menerusi satu kenyataan semalam merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, agar diperkenankan untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid dilaporkan berkata titah berkenaan boleh dibuat Agong dengan menggunakan kuasa wewenang Duli Tuanku dibawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, sidang Parlimen dapat membentangkan beberapa perkara seperti pengisytiharan darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara.

Katanya, Keberkesanan langkah-langkah membendung Covid-19, keberkesanan Belanjawan 2021, keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi serta keperluan perpaduan bangsa Melayu dan umat Islam bersama pelbagai keturunan dalam negara agar kembali stabil. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here