Seorang lelaki lemas, rakan hilang dihanyutkan arus

0
3
grafik

SEORANG lelaki lemas, manakala rakannya masih belum ditemui selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Kampung Minda, Jerangau, Dungun, Terengganu pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, Mohd Subree Ahmad Tajuddin, 38, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.45 pagi.

Rakannya, Ariff Razali, 38, yang berasal dari Selayang, Selangor masih belum ditemui dan gerakan mencari serta menyelamat (SAR) masih diteruskan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata sebelum kejadian kedua-dua mangsa bersama empat lagi rakannya mandi di sungai terbabit, sebelum mereka dihanyutkan arus deras.

“Seorang rakan mangsa yang turut lemas berjaya menyelamatkan diri, manakala kedua-dua mangsa tenggelam ke dasar sungai.

“Kira-kira 15 minit selepas itu, mayat Mohd Subree timbul di permukaan air sebelum berjaya ditarik rakannya ke darat dan disahkan meninggal dunia.

“Keluarga kedua-dua mangsa sudah dimaklumkan berhubung kejadian itu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Gerakan mencari dan menyelamat seorang lagi rakan mangsa sedang dilakukan membabitkan 33 anggota bomba dan penduduk kampung.

“Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) dari bomba tiba kira-kira jam 12 tengah hari untuk melakukan kerja mencari mangsa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here