DAP menggesa kerajaan tidak mengadakan pilihan raya kilat sehingga lebih 70 peratus rakyat Malaysia divaksinasi.
Gesaan itu dibuat dalam satu kenyataan bersama oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii; Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.
Keempat-empat pemimpin DAP itu mahu imuniti kelompok terhadap pandemik berkenaan dicapai terlebih dahulu, sebelum PRU-15 dilaksanakan.
Kenyataan itu berkata, kesihatan dan kesejahteraan ekonomi rakyat harus diutamakan daripada politik.
“Kami menggesa Menteri (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin) untuk menasihati Perdana Menteri supaya menangguhkan pilihan raya sehingga lebih 70 peratus rakyat Malaysia divaksinasi dan imuniti kelompok dicapai.
“Mengadakan pilihan raya umum sebelum imuniti kelompok dicapai adalah risiko kesihatan awam yang besar, seperti yang kita lihat daripada pilihan raya negari Sabah,” katanya.
Sebelum ini, Khairy berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) boleh diadakan pada suku akhir 2021 selepas separuh penduduk Malaysia divaksinasi.
Bagaimanapun, pemimpin DAP terbabit turut menyatakan sokongan terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Malah menyambut baik ikrar Khairy untuk menyiasat dakwaan insiden potong barisan vaksin.
Selain itu, mereka turut menyuarakan kebimbangan mengenai langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran kepada kakitangannya daripada mengulas atau memuat naik hantaran mengenai program vaksinasi di media sosial.
Mereka berkata, kerajaan haruslah memastikan individu yang tampil ke hadapan untuk mendedahkan salah laku dilindungi daripada hukuman atau tindakan tatatertib.
“Walaupun berkongsi gambar penerima vaksin tanpa persetujuan mungkin bukan tindakan yang tepat, seseorang harus mengakui tekanan yang dilalui oleh petugas barisan hadapan dan tidak mengambil pendekatan menghukum terhadap kesilapan sedemikian,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, mereka menyeru agar kerajaan bersikap telus dalam menangani isu terbabit dan mendedahkan mana-mana pihak yang dibuktikan terlibat dengan kejadian potong barisan untuk diberikan pengajaran kepada yang lain.
Dalam masa sama, mereka juga menggesa kerajaan memperincikan secara spesifik kumpulan rentan untuk fasa kedua PICK, terutama sekali kerana ia dijadualkan bermula pada April.
Mereka berkata, anggota perubatan dari sektor swasta termasuk doktor gigi juga haruslah diberikan keutamaan vaksin dalam fasa pertama kerana mereka sering kali menjadi tempat rawatan pertama bagi pesakit bergejala mahupun tidak bergejala.
“DAP juga akan memberi kerjasama dan mengembleng tenaga semua wakil rakyat kami untuk membantu dalam komunikasi strategik tentang manfaat vaksin Covid-19, membanteras fahaman antivaksin dan koordinasi pelaksanaan imunisasi di kawasan Parlimen dan DUN masing-masing.
“Kami berharap kerajaan akan melibatkan kami secara terus, termasuk menyediakan akses kepada sumber dan data yang ada untuk mengaktifkan kaedah “whole society approach” dalam memantau dan menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19,” katanya.
Semalam, pemimpin-pemimpin DAP tersebut menghadiri pertemuan bersama Khairy. -Malaysiapost
Artikel berkaitan
https://malaysiapost.com.my/2021/03/04/lebih-80000-individu-di-malaysia-telah-divaksin/

